Assalamualaikum buat semua. Harap antum semua sihat walafiat. Sudah perbaharui niat hari ini? Masih belum terlambat lagi. Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah, hari ini masih ada kesempatan buat ana untuk mengupdate blog ini setelah agak sekian lama tidak diupdate. Dan kesempatan buat antum semua untuk menziarahi blog ana ini. Ingat, dalam dunia ini tiada yang kebetulan, sebaliknya semuanya dalam perancangan yang Maha Esa. (^_^)
Hari ini ana ingin mengimbau kembali kisah hiburan kanak-kanak yang pernah ana tonton semasa ana masih kecil. Masih ingat tentang kisah belalang dan semut pada musim sejuk? Duduk sejuk2 kat Ireland ni mengingatkan ana pada kisah dua serangga kecil ciptaan Allah ini.
Kisahnya bermula begini...
Di dalam hutan yang nyaman dan hijau, tinggal sekawan semut dan seekor belalang hijau. Semut sememangnya terkenal dengan kerajinannya sehinggakan pepatah melayu ada menyebut rajin seperti semut. Setiap hari semut2 ini akan berusaha gigih mengumpul makanan sedikit demi sedikit sebagai bekalan untuk menghadapi musim sejuk.
Lain pula ceritanya dengan si belalang. Belalang lebih suka menghabiskan masa dengan bermain muzik sambil menyanyi menghiburkan hati. Belalang seakan-akan tidak mengendahkan kedatangan musim sejuk. Apabila ditegur oleh sang semut, ada sahaja jawapannya..
"Belalang, kau ni tak nak bersiap sedia untuk musim sejuk ke? Nanti susah nak mencari makanan."
"Ala, tak pe. Nanti2 la aku cari makanan tu."
Musim dingin semakin menghampiri. Belalang masih dengan hiburannya. Semut2 tetap tekun dan gigih mengumpulkan makanan. Dari cuma sedikit, akhirnya makanan yang dikumpul bertambah banyak dan mampu untuk menampung kehidupan semut2 itu sepanjang musim sejuk nanti.
Masa berlalu. Hari berganti hari, daun mula gugur satu persatu menandakan bermulanya musim yang ditunggu-tunggu. Semut2 bahagia disarang mereka dengan bekalan makanan yang mencukupi. Mereka tidak perlu bersusah payah keluar mencari makanan.
Namun, buat si belalang, semuanya sudah terlambat. Kedinginan musim sejuk menyukarkan belalang untuk mencari makanan. Dia tidak punya tempat berteduh. Tidak punya apa2 untuk dimakan. Setiap hari dia berjalan menempuh angin yang kencang bertiup. Akhirnya, si belalang menjadi semakin lemah dan rebah di pertengahan jalan.
Mujur, ada semut yang terlihat kelibat belalang dari jauh. Semut2 itu keluar untuk menolong belalang dan membawanya masuk ke busut mereka. Disitu, belalang direhatkan. Apabila belalang tersedar, dia diberikan makanan dan minuman. Baru kini belalang sedar. Dia seharusnya mengambil berat akan apa yang diperkatakan oleh semut awal-awal dahulu. Belalang sedar akan kesilapannya. Setelah agak sihat kembali, belalang minta izin untuk pergi kerana segan dengan semut2 itu. Namun, semut2 yang bertimbang rasa ini mengajak belalang untuk tinggal bersama-sama mereka.
Begitulah kisahnya sekawan semut dan belalang dalam menghadapi musim dingin. Cerita ini mungkin nampak biasa saja, namun andai kita hayati sedalam-dalamnya begitu banyak pengajaran yang tersirat di dalamnya.
Daripada Abu Hurairah r.a. daripada Nabi SAW, Baginda telah bersabda:
Barangsiapa yang melepaskan seorang mukmin daripada satu kesusahan daripada kesusahan kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskannya daripada satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahan Qiamat. Barangsiapa yang mempermudahkan bagi orang susah, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya di dunia dan di akhirat. Barangsiapa yang menutup ke'aiban seorang muslim, nescaya Allah akan menutup ke'aibannya di dunia dan akhirat. Allah sentiasa bersedia menolong hambaNya selagi mana dia suka menolong saudaranya. Barangsiapa yang melalui suatu jalan untuk menuntut ilmu, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya suatu jalan menuju ke syurga. Sesuatu kaum tidak berkumpul di salah sebuah rumah-rumah Allah (iaitu masjid) sambil mereka membaca Kitab Allah dan mengkajinya sesama mereka melainkan suasana ketenangan akan turun ke atas mereka, rahmat akan melitupi mereka dan mereka akan di kelilingi oleh para malaikat dan Allah akan menyebut (perihal) mereka kepada orang-orang yang berada di sisiNya. Barangsiapa yang terlambat amalannya, nescaya nasab keturunannya tidak mampu mempercepatkannya.
Salam ukhwah.
Salam mujahadah.